Cetak

24 Januari 2019 – “Speed, professional, integrity, legacy”. Demikian adalah antara intipati amanat yang telah disampaikan oleh YB Dato’ Mohd Khidir bin Majid, Pegawai Kewangan Negeri, Negeri Sembilan kepada seluruh warga Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan (PKwNS) dalam sebuah majlis bertempat di Klana Resort, Seremban. Majlis tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada warga PKwNS mengamati dan menghayati amanat, pesanan dan nasihat daripada YB Pegawai Kewangan Negeri sempena tahun baharu 2020 seterusnya menyuntik semangat dan iktikad baharu bagi meneruskan kecemerlangan PKwNS di masa-masa yang mendatang.

YB Pegawai Kewangan Negeri juga antara lain mengingatkan warga kerja PKwNS agar tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan-kejayaan yang telah dicapai, sebaliknya hendaklah terus berusaha dengan gigih bagi memastikan organisasi PKwNS sentiasa dipandang tinggi serta disegani oleh pemegang taruh dan masyarakat umum. Dalam menjayakan matlamat ini, beliau menasihati warga kerja PKwNS untuk sentiasa bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti seterusnya melaksanakan penambahbaikan yang akan memberikan manfaat kepada semua pihak.

Dalam majlis yang sama YB Pegawai Kewangan Negeri turut membentangkan kejayaan PKwNS yang telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM557.43juta, melebihi daripada sasaran Significantly Exceed Target (ST) yang telah ditetapkan iaitu RM430 juta. Jumlah kutipan ini juga turut disumbang oleh kejayaan Kerajaan Negeri Sembilan dalam mengurangkan jumlah tunggakan cukai dan meningkatkan hasil kutipan cukai tanah. YB Pegawai Kewangan Negeri berkata kejayaan tersebut bukanlah datang secara bergolek, sebaliknya merupakan refleksi kerja keras dan usaha gigih yang telah dilaksanakan oleh setiap Penjawat Awam Negeri Sembilan sepanjang tahun 2019.

Bersempena dengan Majlis Amanat YB Pegawai Kewangan Negeri Bersama Warga PKwNS Tahun 2020, turut diraikan adalah pegawai-pegawai yang telah bertukar keluar iaitu Encik Muhammad Zahir bin Mazlan, Puan Salmah binti Ayub, Puan Siti Rahmah binti Jaffar dan juga Puan Norhayati binti Abd Kadir. YB Pegawai Kewangan Negeri turut mengalu-alukan kehadiran pegawai-pegawai yang baharu melapor diri iaitu Puan Nadia El-Yani binti Ja’far, Puan Habsah binti Abdul Razak, Puan Fauzaipah binti Mukhtar, Puan Norasmah binti Yahya dan Puan Ainur Zarifah binti Md Saad Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Encik Hazman bin Mohamed, Pengarah Jabatan Audit Negara, Negeri Sembilan.

 

Sila klik di sini untuk melihat montaj pencapaian dan program sepanjang tahun 2019. 

Sila klik di sini untuk melihat gambar sepanjang majlis berlangsung.