27 Julai 2020 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan (PKwNS) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 yang telah disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohd Khidir bin Majid, Pegawai Kewangan Negeri bertempat di Klana Resort Seremban.

Majlis diadakan bagi meraikan pegawai-pegawai yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang bagi tahun 2019. Dalam ucapan perasmian, YB Pegawai Kewangan Negeri mengingatkan semua warga PKwNS agar sentiasa menetapkan sasaran yang jelas dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Ini bagi memastikan tugasan tersebut berada pada landasan yang betul dan menepati kehendak dan keperluan organisasi. Warga PKwNS juga hendaklah sentiasa mengamalkan etika dan keperibadian yang unggul agar menjadi contoh serta tauladan di kalangan Pegawai Perkhidmatan Awam yang lain. Selain itu, pengetahuan dan kemahiran setiap warga PKwNS dalam bidang tugas masing-masing juga harus ditingkatkan melalui penyertaan dalam kursus, bengkel, seminar atau sebarang bentuk latihan yang bersifat spesifik atau generik. Ini bagi memastikan setiap tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berkualiti.

Turut diraikan dalam majlis yang sama adalah pegawai yang telah dan akan berpindah keluar ke jabatan lain serta pegawai baharu yang telah dan akan melapor diri ke PKwNS. Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada semua penerima APC Tahun 2019, selamat maju jaya kepada pegawai yang bertukar keluar dan selamat datang kepada pegawai-pegawai baharu. Semoga PKwNS akan terus menjadi sebuah organisasi yang cemerlang, progresif dan dinamik.
APC 2019