Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan (PKwNS) telah mengadakan Kursus Pengukuhan Pasukan pada 10 hingga 12 Disember 2021 yang lalu bertempat di Cheringin Hill Resort, Janda Baik, Pahang. Kursus diadakan bertujuan untuk memperkukuh semangat dan kerjasama di kalangan pegawai dan kakitangan PKwNS seterusnya menanam tekad dan azam untuk meningkatkan prestasi kerja demi kebaikan organisasi.

Kursus turut disertai oleh YB Dato' Haji Mohd Khidir bin Majid, Pegawai Kewangan Negeri, Negeri Sembilan. YB Pegawai Kewangan Negeri dalam ucapan perasmian penutup kursus telah menyampaikan amanat agar semua pegawai dan kakitangan PKwNS mengambil iktibar dari keperibadian Rasulullah SAW dalam mengurus organisasi. Dalam usaha menyebarkan agama Islam, Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh tauladan pengurusan organisasi yang cekap, telus, kukuh serta strategik. Antara sifat yang boleh dicontohi termasuklah keterbukaan baginda Rasulullah SAW dalam menerima pendapat para sahabat RA dalam apa jua perkara dan situasi sama ada dalam menyusun gerakan dakwah, strategi pertahanan dan peperangan serta hubungan diplomatik.

Selain itu, YB Pegawai Kewangan Negeri turut mengingatkan semua pegawai dan kakitangan PKwNS untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam menyelesaikan tugas yang diamanahkan. Dalam hal ini, kualiti penyampaian perkhidmatan hendaklah terus dipelihara agar ianya sentiasa memenuhi jangkaan dan kehendak pemegang taruh. YB Pegawai Kewangan Negeri turut berharap agar pegawai dan kakitangan PKwNS dapat mencipta legasi yang membanggakan agar PKwNS terus dikenali sebagai sebuah organisasi yang cemerlang dan disegani.

Klik di sini untuk melihat gambar sepanjang kursus berlangsung.