2 April 2021 - Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan (PKwNS) telah menganjurkan Majlis Amanat YB Pegawai Kewangan Negeri (PKN) dan Majlis Jasamu Dikenang bertempat di Kediaman YB PKN, Seremban. Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Sahibul Fadhilah Ustadz Firdaus, Pegawai Agama Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Majlis diadakan bagi mendengar pesanan dan amanat yang disampaikan oleh YB PKN seterusnya pada masa yang sama menghargai pegawai-pegawai yang telah bertukar keluar serta meraikan pegawai-pegawai yang baharu melapor diri di PKwNS. Majlis juga diadakan sebagai tanda kesyukuran bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan tidak lama lagi. Dalam majlis tersebut YB PKN telah berkongsi dengan semua warga kerja PKwNS berkenaan perlunya setiap individu mempunyai cara bekerja yang progresif dan dinamik bagi memacu organisasi ke arah kecemerlangan. YB PKN turut berkongsi mengenai kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh PKwNS sepanjang tahun 2020 terutamanya dari segi kutipan hasil dan prestasi perbelanjaan serta betapa pentingnya untuk setiap warga PKwNS untuk berkhidmat dengan lebih gigih agar kejayaan yang lebih cemerlang dapat dicapai pada tahun 2021.

YB PKN turut mengingatkan agar setiap warga PKwNS untuk mencipta legasi tersendiri melalui suri teladan, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas masing-masing. Dengan itu, warga PKwNS akan sentiasa dihormati dan dipandang tinggi bukan sahaja di kalangan rakan-rakan sepejabat malahan akan turut disegani dan dijadikan contoh oleh rakan-rakan di Jabatan dan Agensi yang lain.
Majlis telah dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

Sila klik di sini untuk melihat gambar sepanjang majlis berlangsung.