Alhamdulillah. Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus telah melakar satu lagi detik bersejarah apabila menerima Sijil Ketua Audit Negara (Bersih dan Saksama) pada hari yang sama Mesyuarat Penutup Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan Bagi Tahun 2021 diadakan. Pengerusi Mesyuarat, YBhg. Datuk Nor Salwani binti Haji Muhammad yang juga Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) telah menyampaikan sijil tersebut kepada YB Dato' Haji Mohd Khidir bin Majid, Pegawai Kewangan Negeri, Negeri Sembilan sebaik sahaja selesai mesyuarat.
Penyerahan Sijil Ketua Audit Negara pada hari yang sama mesyuarat penutup diadakan merupakan cerminan keyakinan dan pengiktirafan tertinggi daripada pihak Ketua Audit Negara terhadap tadbir urus kewangan Kerajaan Negeri Sembilan bagi tahun 2021. Kejayaan yang dicapai ini tidak lain tidak bukan adalah hasil kerjasama padu seluruh jentera Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang dipimpin oleh YAB Dato' Seri Haji Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan. Berkat kepimpinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang menjunjung prinsip telus, amanah dan berintegriti, tadbir urus Kerajaan Negeri Sembilan khususnya dalam bidang kewangan telah diberikan pengiktirafan yang tinggi oleh pihak Ketua Audit Negara.
Atas kejayaan ini, YB Pegawai Kewangan Negeri, Negeri Sembilan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ketua Jabatan/Agensi Negeri atas usaha yang telah digembleng sehingga memungkinkan pengiktirafan ini dicapai. Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama dan InsyaAllah bukan kejayaan yang terakhir.
Sila klik di sini untuk melihat gambar sepanjang mesyuarat berlangsung.