Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan (PKwNS) telah mengadakan Taklimat Khas Pasca Mesyuarat Penutup Mengenai Penyata Kewangan Negeri Sembilan Bagi Tahun 2021 bertempat di Bilik Mesyuarat PKN, Wisma Negeri. Taklimat telah disampaikan oleh YB Dato' Haji Mohd Khidir bin Majid, Pegawai Kewangan Negeri, Negeri Sembilan (PKN).
Dalam taklimat beliau, YB PKN telah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan PKwNS yang telah mengembleng usaha dan tenaga dalam memastikan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan memperolehi Sijil Ketua Audit Negara (Benar dan Saksama). Apa yang lebih membanggakan, sijil berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Audit Negara pada 30 Jun 2022 iaitu sehari sebelum Mesyuarat Penutup Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan Bagi Tahun 2021 diadakan pada 1 Julai 2022. YB PKN menyatakan bahawa perkara tersebut adalah sebuah peristiwa bersejarah yang mencerminkan keyakinan tinggi Ketua Audit Negara terhadap pengurusan kewangan dan perakaunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang menjunjung prinsip bersih, tulus dan berintegriti.
Dalam taklimat yang sama YB PKN turut berkongsi pengalaman beliau ketika menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengubah budaya dan cara bekerja di Perkhidmatan Awam Negeri Sembilan. Ini termasuklah menghapuskan amalan dan cara kerja yang bertentangan dengan peraturan kewangan yang berkuatkuasa. Walaupun berdepan dengan tekanan daripada pelbagai pihak, namun menggadaikan pegangan dan prinsip adalah tidak sama sekali.
Sehubungan itu, YB PKN berpesan kepada semua warga kerja PKwNS untuk sentiasa berpegang kepada prinsip integriti dalam melaksanakan tugasan harian dan tidak sesekali gentar dalam mempertahankan perkara yang hak agar tugasan harian itu diterima oleh Allah SWT sebagai bekalan amalan hari mendatang. YB PKN turut mengingatkan bahawa usaha dan komitmen yang lebih tinggi diperlukan bagi mengekalkan kejayaan yang dikecapi hari ini. Oleh itu, YB PKN menekankan bahawa semangat kesatuan dan kerjasama dalam kalangan warga PKwNS amatlah penting bagi membawa organisasi ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi.
Sila klik di sini untuk melihat sepanjang taklimat berlangsung.