Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus telah berjaya menghantar Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan Tahun Berakhir 31 Disember 2023. Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sembilan telah diserahkan sendiri oleh YB Dato' Haji Mohd Khidir bin Majid, Pegawai Kewangan Negeri , kepada YBrs. Encik A S Sinarao a/l Nagayah@Nagaraju, Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Sembilan, bertempat di Wisma Audit, Jabatan Audit Negara Negeri Sembilan.

Turut hadir adalah YBrs. Encik Hasnor bin Abd. Hamid, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri dan YBhg. Datin Arpah binti Jais@Haji Mhd Dahlan, Bendahari Negeri serta wakil-wakil Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan dan Jabatan Audit Negara Negeri Sembilan. Dalam perutusan ringkas YB Pegawai Kewangan Negeri, beliau berkongsi dengan pihak Jabatan Audit Negara Negeri Sembilan berkenaan beberapa pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2023 berbanding tahun 2022. Antaranya termasuklah prestasi kutipan hasil yang lebih tinggi iaitu RM541 juta berbanding sasaran RM450 juta serta prestasi belanja mengurus dan belanja pembangunan yang lebih baik. Selain itu, PKWNS juga telah berjaya meletakkan Akaun Hasil Disatukan pada kedudukan yang lebih baik serta mengurangkan defisit di Kumpulan Wang Pembangunan.

YB Pegawai Kewangan Negeri turut berkongsi mengenai perancangan-perancangan yang sedang diatur oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi kutipan hasil dan beliau percaya Kerajaan Negeri berkeupayaan untuk mengutip hasil mencecah RM1 bilion dalam tempoh 5 tahun. Sehubungan itu, segala pelan tindakan untuk mencapai visi tersebut akan digarap dan didokumenkan di bawah Pelan Pengurusan Kewangan MADANI Negeri Sembilan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar sepanjang penyerahan Penyata Kewangan berlangsung.