Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dengan kerjasama Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus (PKWNS) telah menganjurkan Mesyuarat Kementerian Kewangan Malaysia Bersama Kerajaan-Kerajaan Negeri Bilangan 1 Tahun 2024 bertempat di Lexis Hibiscus, Port Dickson. Program dimulakan dengan lawatan tapak projek MARRIS bersama YBhg. Dato' Zamzuri bin Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) di Kampung Orang Asli Bukit Kepong di Pasir Panjang, Jalan Si Rusa - Air Kuning (N8) dan PD Forest@Sungai Menyala.
Pada sebelah petang program diteruskan dengan Mesyuarat Pemantauan dan Penyelarasan Pemberian Bil.1/2024, Mesyuarat Jawatankuasa Hasil Bil.1/2024 dan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pemberian MARRIS Bil. 1/2024. Mesyuarat turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Shahrol Anuwar bin Sarman, Pengarah Belanjawan Negara, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berkaitan serta YB Pegawai-Pegawai Kewangan Negeri dari seluruh negara.
Pada sebelah malamnya pula Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan telah meraikan seluruh delegasi MOF serta YB Pegawai-Pegawai Kewangan Negeri dengan Majlis Makan Malam Bersama YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Dalam ucapan beliau, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan berharap agar hubungan yang kukuh antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus dikekalkan demi kemaslahatan dan faedah terbaik untuk rakyat. PKWNS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MOF kerana telah memberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi sesi mesyuarat kali ini.
Klik di sini untuk melihat gambar sepanjang lawatan dan mesyuarat berlangsung.